Friday, August 22, 2008

Ahlan Ya Ramadhan Al-Mubarak

Ahlan! Ahlan! Ahlan!! Ya Allah... Tak terucap kalimah syukur, seandainya aku masih diberi ruang dan peluang untuk bertemu tetamu istimewa ini. Aku menghitung hari... Sehari demi sehari Sya'ban makin menarik diri. Sedia memberi ruang untuk Ramadhan menjenguk diri. Hari yang tidak menentu cuaca, bagai mempamer rasa debar menyambut tetamu ini. Namun sayang, bahang Ramadhan ini seakan tidak dirasai oleh umat, terutama di Malaysia ini. Aku berkata begitu kerana hangatnya suasana kemerdekaan kian membahang hingga menenggelamkan VVIP yang akan hadir ini.

Bila disebut tentang Ramadhan, langsung terlintas akan Solat Sunat Taraweh, sahur, berbuka, tadarus Al-Quran, Nuzul Quran, Lailatul Qadar, Perang Badar, amalan sunat yang berlipat ganda pahala, doa-doa yang mudah dimakbulkan dan yang paling disukai ramai, Bazar Ramadhan... Jadikan Ramadhan kali ini sebagai Ramadhan yang terbaik dari tahun-tahun yang lalu. Seandainya Ramadhan lalu grednya hanyalah C, jadi tahun ini mesti dapatkan gred B atau lebih dari itu. Aku termenung sejenak, mengingati Ramadhan yang lepas. Terasa amat banyak lagi kekurangan yang perlu dipertingkatkan. Perlu dan wajib diperbaiki untuk diri aku dan keluargaku.

Sebagai mengakhiri coretan yang ringkas ini, sambutlah Ramadhan seolah inilah Ramadhan terakhir buat kita sebelum nyawa terpisah dari jasad. Sambutlah tetamu ini kerana ia satu anugerah teristimewa buat umat Nabi Muhammad S A W. Sambutlah kerana kita hambaNya...

RAMADHAN KAREEM! RAMADHAN KAREEM! RAMADHAN KAREEM!

No comments: